Saturday, 13 April 2013

*CERITA 25 : PERBEZAAN KEROPOK DAN KEREPEK

Keropok

Kerepek

Kisah pada kali ini merupakan perbezaan antara keropok dengan kerepek. Suatu hari, semasa saya sedang menikmati keropok yang dibeli oleh ayah, tiba-tiba terfikir apakah perbezaan antara keropok dan kerepek? Jika dilihat, semua masyarakat tanpa mengira negeri masing-masing menggunakan kedua-duanya iaitu sama ada kerepek mahupun keropok. 
      Tanpa berlengah, saya terus bertanyakan kepada seorang rakan yang boleh dipercayai tentang perbezaan antara keropok dan kerepek. Rakan mengatakan bahawa kerepek merupakan makanan yang dibuat daripada buah-buahan seperti pisang, ubi, keladi, sukun dan sebagainya. Manakala keropok pula dibuat daripada haiwan seperti ikan dan udang. Untuk mendapatkan kepastian lanjut, saya terus mencari perbezaan ini di laman internet. Menerusi maklumat daripada blog yang saya jumpa, terdapat juga perbezaan tentang cara penghasilan keropok dan kerepek ini. Keropok dihasilkan dengan menambahkan tepung manakala kerepek pula terus digoreng setelah dihiris nipis-nipis. Jika difikirkan sedalam-dalamnya, perbezaan yang diberikan dapat diterima dengan logik akal. 
          Sedang asyik mencari maklumat tentang perbezaan antara keropok dengan kerepek, saya menjumpai animasi lucu ini menerusi blog. 




ULASAN:
Perbezaan antara keropok dan kerepek jika dilihat dari segi ejaan memang terdapat perbezaan antara penggunaan huruf vokalnya. Walau bagaimanapun, perbezaan inilah yang menjadikan seseorang itu mencari dan terus mencari maklumat untuk mendapatkan jawapan yang bukan sahaja tepat, malah boleh diterima oleh logik akal. 



Saturday, 6 April 2013

*CERITA 24 : BAHASA ROJAK

Bahasa rojak merupakan bahasa yang dituturkan atau ditulis secara bercampur-aduk antara bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu sehingga Datuk Seri Dr. Rais Yatim menggelarkannya sebagai 'sekerat ular, sekerat belut'. 




           Kebanyakan masyarakat kini terutamanya golongan belia sering menggunakan bahasa rojak terutamanya ketika berkomunikasi antara satu sama lain. Ketika saya sedang menunggu bas di perhentian bas yang terletak di hadapan kampus, tiba-tiba saya terpandang ayat yang tertera di hadapan salah sebuah kedai yang menjual alat tulis dan barang keperluan untuk pelajar. Ayat tersebut berbunyi 'Menjual barangan keperluan student UPSI'. Di sini saya turut menyelitkan sebuah iklan yang saya fikirkan sangat menarik dan dapat dijadikan pengajaran. 


ULASAN :
Bahasa rojak sepatutnya tidak dijadikan sebagai satu kebiasaan dalam kalangan masyarakat pada masa ini. Jika ingin bertutur dalam bahasa Inggeris, teruskan bertutur dalam bahasa tersebut tanpa perlu dicampur dengan bahasa Melayu. Hal ini akan menyebabkan imej bahasa Melayu terjejas.
     

Thursday, 4 April 2013

*CERITA 23 : SALAH FAHAM

Pada hari ini, saya dan rakan bercadang menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Setelah berbincang tentang segala persiapan dan lokasi untuk menyempurnakan tugasan, salah seorang daripada rakan memberitahu bahawa saya perlu menunggu di perhentian bas dan akan ada rakan yang mengambil saya di perhentian bas tersebut. Seperti masa yang telah dijanjikan, saya pun pergi ke tempat yang ditetapkan untuk menunggu rakan menjemput saya. Sepuluh minit kemudian, saya ternampak kereta kepunyaan rakan menuju ke perhentian bas di tempat saya menunggu. Alangkah terkejutnya apabila yang membawa kereta itu adalah rakan lain yang tidak terlibat sama dengan tugasan kami ini. Saya bertanyakan kepada rakan tersebut tentang sebab mereka menggunakan kereta itu. 
        Kebetulan cuaca buruk kerana hari hujan. Saya sangka bahawa perbincangan tentang tugasan tersebut dibatalkan dan rakan terlupa ingin memaklumkan kepada saya. Saya pulang semula ke rumah dengan perasaan kecewa kerana menyangkakan bahawa rakan tidak memaklumkan hal yang sebenar. Namun, sangkaan saya silap apabila rakan yang meminta saya untuk tunggu di perhentian bas itu juga tidak mengetahui bahawa kami akan dijemput dengan menggunakan kenderaan yang lain. Tidak lama selepas itu, rakan tadi menelefon saya dan memaklumkan bahawa perbincangan berjalan seperti yang dirancangkan dan kejadian tadi adalah salah faham kerana rakan yang bertanggungjawab menjemput kami dengan menggunakan kenderaannya tidak memaklumkan dengan jelas bahawa kami akan dijemput dengan menggunakan kenderaan yang lain. 

ULASAN :
Saya merasakan bahawa terdapat kesalahfahaman komunikasi antara saya dan rakan. Sepatutnya rakan telah memaklumkan dengan lebih awal tentang kenderaannya yang dipinjam oleh rakan lain. Namun, salah faham ini boleh diatasi dengan cara bersangka baik terhadap segala sesuatu yang berlaku kerana Allah lebih mengetahui segalanya.

Monday, 1 April 2013

*CERITA 22 : MUKA BUKU

Hari ini ketika sedang melayari laman sosial "Facebook" atau telah mula dialihbahasakan ke dalam bahasa Melayu oleh seorang penyanyi muda dengan perkataan 'muka buku' saya telah menemui kisah tentang seorang gadis yang telah menulis status di laman sosialnya dengan menggunakan bahasa kasar. Status yang dimuat naik oleh gadis ini boleh dilabel sebagai kurang ajar apabila menulis ayat yang berbunyi FUCK BUDAK SABAH ! DA MCM SAKAI ! Gadis ini tanpa segan-silu menulis ayat yang sedemikian semata-mata ingin melepaskan perasaan marahnya. Selain itu, komen daripada rakan gadis tersebut yang tertulis di ruangan komen juga berbaur bahasa yang sangat tidak sopan.


ULASAN :
Pada pendapat saya, pengguna laman sosial seharusnya memanfaatkan penggunaan laman sosial dengan cara yang betul. Laman sosial sememangnya wadah hiburan yang adakalanya dijadikan sebagai tempat meluahkan perasaan, menyampaikan info di samping memuat naik gambar untuk dikongsikan bersama kenalan di laman sosial. Oleh itu, seseorang pengguna laman sosial seharusnya berfikir dahulu sebelum bertindak dalam melakukan apa-apa jua perkara. 

*CERITA 21 : TERLEBIH MESRA

Baru-baru ini, saya dan beberapa rakan sekumpulan telah berbincang tentang tugasan dalam keadaan santai di sebuah kedai makan. Pada awalnya hanya kami berempat yang telah sampai terlebih dahulu di kedai makan tersebut. Sementara menunggu salah seorang seorang daripada rakan, kami terlebih dahulu memesan makanan sambil berbincang tentang tugasan berkumpulan. Tidak lama selepas itu, rakan yang ditunggu-tunggu pun tiba. Rakan kami datang dengan menaiki sebuah kereta bersama teman lelakinya. Teman lelakinya juga menyertai perbincangan kami pada malam itu. Saya berasa tidak selesa apabila rakan membawa teman lelakinya. Bukan disebabkan oleh rasa cemburu, namun rasa kurang selesa apabila mereka berdua kelihatan terlalu mesra hingga adakalanya membuatkan saya sendiri berasa malu dengan pelanggan-pelanggan lain yang sedang duduk di meja makan berhampiran.
        Tujuan perjumpaan adalah untuk berbincang tentang tugasan, sedang kami berbincang rakan yang membawa teman lelakinya menyertai kami seperti melakukan hal sendiri dan rakan yang sepatutnya memberikan kerjasama dalam perbincangan seperti bersikap acuh tidak acuh kerana leka berbual bersama teman lelaki. Adakala terdengar perbualan antara mereka berdua yang bernada sangat manja dan tidak sepatutnya dipertontonkan di khalayak ramai. 

ULASAN :
Saya merasakan bahawa situasi seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan rakan perlulah memberi kerjasama dan komitmen yang sepenuhnya terutamanya yang melibatkan tugasan berkumpulan. Sikap terlebih mesra bersama pasangan yang sudah tentunya belum mempunyai apa-apa ikatan tidak sepatutnya dipamerkan di khalayak ramai.

Friday, 29 March 2013

*CERITA 20 : NASI KERABU

Nasi kerabu merupakan makanan yang sangat popular di negeri pantai timur. Nasi kerabu dikatakan unik dan enak kerana warna nasinya yang biru serta dimakan bersama ulam-ulaman yang segar pasti membangkitkan selera. 
         Nasi kerabu ini juga laris dijual terutamanya di hadapan kampus UPSI apabila golongan mahasiswa yang berasal dari pelbagai negeri turut meminatinya, malah kadangkala turut kedengaran loghat Kelantan ketika memesan nasi kerabu tersebut walhal mahasiswa tersebut berasal dari Kedah. Kejadian ini telah berlaku sewaktu saya dan rakan sedang beratur untuk menunggu giliran bagi memesan nasi kerabu. Rakan saya berasal dari negeri Kedah. Sedang menunggu giliran, sempat juga dia berbual mesra dengan seorang lagi rakan yang kebetulan lalu-lalang di hadapan kedai nasi kerabu tersebut. Mereka bercakap dengan menggunakan loghat Kedah. Setibanya giliran rakan saya yang berasal dari Kedah tadi memesan nasi kerabu, tiba-tiba kedengaran dia menggunakan loghat Kelantan pula. Rakan saya mengatakan 'nasi khabu se!' kepada peniaga walaupun gaya percakapannya agak lucu. Melihatkan loghatnya yang lucu, peniaga tersebut tersenyum. Mungkin tersenyum bangga kerana orang dari negeri lain pun mahir bercakap loghat Kelantan gara-gara penangan nasi kerabu.






ULASAN :
Walaupun kita berasal dari pelbagai daerah mahupun negeri sememangnya wajar untuk belajar bertutur bahasa atau dialek dari negeri lain. Hal ini sekali gus dapat mewujudkan kemesraan sebagai rakyat Malaysia yang aman dan makmur.

Thursday, 28 March 2013

*CERITA 19 : KESILAPAN MENYEBUT SEBUTAN BAHASA KAUM LAIN.

Malaysia merupakan sebuah negara majmuk. Kaum terbesar iaitu kaum Melayu, kedua kaum Cina dan ketiga kaum India. Kemajmukan ini menimbulkan pelbagai bahasa dan tulisan. Warna-warni kehidupan rakyat Malaysia membuatkan negara ini sentiasa aman dan harmoni. 
      Jika kita lihat, kaum Cina menguasai ekonomi negara ini. Kita boleh lihat di kawasan yang membangun pasti kedai kaum Cina tumbuh bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Mereka bijak mengatur perniagaan kerana mempunyai persatuan yang kuat. Dapat kita bandingkan penguasaan mereka dengan melihat papan tanda yang terletak di hadapan kedai. Banyak papan tanda yang tertera tulisan bahasa Cina daripada tulisan  bahasa Melayu dan India. Produk-produk yang dihasilkan juga banyak yang menggunakan tulisan Cina.
      Masalah kita sebagai orang Melayu iaitu menyebut setiap perkataan Cina yang ditulis menggunakan tulisan romen. Sebutan yang kita sebut kadangkala tidak betul sehinggakan maksudnya tidak ada. Sebagai contoh "Yik Mun". Orang kita sering menyebutnya seperti itu tetapi yang sebenarnya cara sebutan yang betul ialah "Yik Man". Makanan pula seperti "Kue tiaw". Sebutan sebenarnya iaitu "Kue Tioo".

ULASAN: 
Kita perlu bertanya sebutan yang sebenar daripada kaumnya agar sebutan yang kita ucapkan betul dan memberi makna yang tepat. Kadangkala sebutan yang tidak betul boleh menyebabkan maksud menjadi lain dan boleh membuatkan penutur aslinya berasa kurang senang.

Tuesday, 26 March 2013

*CERITA 18 : BAHASA SLANGA

Semalam (25 Mac 2013), saya dan tiga orang rakan telah pergi menonton sebuah teater yang berjudul Asmara Songsang yang ditayangkan di Dewan Budaya UPSI. Dalam teater ini telah mengetengahkan isu yang berkaitan LGBT (Lesbian Gay Biseksual Transgender). Hal ini bertujuan memberikan pendedahan di samping kesedaran kepada golongan mahasiswa khususnya tentang penularan gejala ini. 
          Sepanjang menonton teater ini, perkara yang saya pelajari adalah tentang bahasa yang digunakan oleh para pelakon yang melakonkan watak-watak sebagai golongan yang mengamalkan LGBT. Saya dapati golongan ini menggunakan bahasa slanga. Seperti yang diketahui, bahasa slanga merupakan bahasa tidak rasmi yang sering digunakan oleh golongan remaja. Di samping itu, bahasa slanga juga didapati hanya digunakan oleh kelompok tertentu untuk berkomunikasi sesama mereka. Dalam pementasan teater yang saya tonton, bahasa slanga yang sering digunakan seperti gua, bro, dan lu. 

ULASAN:
Saya berpendapat bahawa penggunaan bahasa slanga dalam kalangan remaja tidak salah, namun perlulah dikawal agar tidak mencemarkan imej bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. 

Monday, 25 March 2013

*CERITA 17 : MELATAH

Melatah atau kata akarnya latah dilihat sebagai respon atau tindak balas automatik akibat daripada rasa terkejut yang dialami oleh seseorang. Jika diteliti, respon yang diberikan boleh berbentuk percakapan atau perbuatan yang tidak dapat dikawal. Menurut Pakar Perunding Psikiatri Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman, golongan dalam perlakuan ini dianggap mempunyai personaliti yang celaru, resah atau darah gemuruh, cepat terkejut dan lemah semangat (easily hyperstartle response) termasuk apabila melihat berita yang menggerunkan serta mudah mendapat serangan panik (panic attack). (sumber : Utusan Online, 14 Jun 2012 http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm)
        Saya mempunyai seorang rakan yang kuat melatah. Terdapat juga rakan-rakan lain yang gemar mengusik sehingga membuatkan dirinya berasa letih akibat daripada latah yang berterusan. Rakan-rakan lain melihat perkara tersebut sebagai suatu bentuk hiburan, namun berbeza dengan pelaku yang melatah merasakan perkara tersebut memalukan dirinya. Setelah saya perhatikan, rakan saya ini cenderung mengulang kata-kata yang diucapkan dan adakalanya melakukan apa-apa sahaja yang disuruh oleh rakan yang gemar mengusik. 

ULASAN :
Saya beranggapan bahawa fenomena latah ini hanya berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu. Pada hakikatnya, golongan yang mempunyai tabiat seperti ini bukanlah atas dasar keinginan atau kerelaan diri untuk melatah, namun telah menjadi kebiasaan dan sekiranya tidak dibendung, akan memberi kesan negatif kepada pelaku yang melatah.




           

*CERITA 16 : DIALEK

Pada hari sabtu baru-baru ini, saya dan beberapa orang rakan telah berpeluang menonton teater yang telah ditayangkan di Panggung Budaya UPSI. Teater ini berkisar tentang Putera Cahaya Bulan yang ingin dibunuh oleh Raja Gergasi oleh sebab dendam yang ada dalam diri Raja Gergasi kerana tidak dapat memperisterikan Puteri Nang Mara. Perkara yang menarik minat saya adalah dalam teater ini mengetengahkan dua unsur dialek iaitu dialek utara dan dialek Siam. Dalam dialek utara digunakan oleh raja dan rakyatnya, manakala dialek Siam terdapat pada watak Edeng dan Epong yang merupakan watak yang bertanggungjawab menyelamatkan Putera Cahaya Bulan. Dialek utara yang sempat saya ingat seperti terdapatnya perkataan hang, hingaq, tok sah, dan awat. Manakala dialek Siam telah digunakan oleh watak Epong dan Edeng dan tidak sempat saya fahami butir perkataannya.




ULASAN :
Saya berasa kagum dengan jalan cerita yang ingin disampaikan menerusi teater tersebut. Dengan adanya percampuran dialek dalam teater tersebut terutamanya dialek utara yang sememangnya memikat hati para penonton menjadikan teater tersebut 'hidup' di atas pentas. Saya berpendapat dialek utara sangat unik dan menarik selain daripada dialek-dialek yang terdapat dalam negara kita.

Saturday, 23 March 2013

*CERITA 15 : BAHASA KESAT

Baru-baru ini, seorang rakan yang sebilik dengan saya telah mengajak rakannya untuk menginap di rumah sewa kami. Sebagai rakan yang berkongsi bilik, saya berasa gembira dengan tetamu yang datang. Sepanjang rakan tersebut menginap sementara di rumah kami, saya sering terdengar perbualan sesama mereka. Namun, bukanlah saya berniat untuk mengaibkan seseorang. Perkara yang memeranjatkan saya ialah, dalam perbualan dan gurau senda mereka adakalanya terselit bahasa kesat yang sememangnya tidak manis dan tidak elok dituturkan terutamanya dalam kalangan wanita. 
      
 Antara contoh bahasa kesat yang saya terdengar daripada perbualan mereka ialah :

*eh! macam bodoh je..
*macam bongok je engkau ni..
*macam yal la..(macam sial la)

ULASAN :
Saya merasakan bahawa golongan wanita seharusnya menjaga adab semasa bercakap walaupun perbualan tersebut antara wanita dengan wanita. Perkara seperti ini sebenarnya bergantung kepada individu tersebut. Jika sudah terbiasa mengeluarkan perkataan-perkataan yang kesat seperti itu, maka menjadi sukar untuk membuang tabiat tersebut. 

*CERITA 14 : GORENG PISANG ATAU PISANG GORENG?




Pada kali ini, saya ingin berkongsi cerita mengenai pisang goreng. Baru-baru ini, saya sering ternampak papan tanda yang menjual pisang goreng. Namun yang menghairankan saya, ada yang meletakkan sebagai 'goreng pisang' pada papan tanda gerai mereka. Adakah gerai tersebut yang menggoreng pisang? Jika diperhatikan, ramai masyarakat kita yang keliru dengan istilah ini. Hal ini terbukti bahawa masih terdapat kesalahan istilah yang digunakan terutamanya pada papan tanda gerai yang menjual pisang goreng. Ekoran daripada  itu, golongan yang menjadi mangsanya ialah adik-adik yang masih bersekolah. Akibat terkeliru dengan istilah tersebut, maka banyaklah kesalahan tatabahasa tersenarai dalam tugasan karangan yang diberikan oleh guru. 
        Jadi, pihak peniaga seharusnya meletakkan istilah 'pisang goreng' di gerai mereka dan bukannya 'goreng pisang' kerana istilah 'goreng pisang' merupakan perbuatan orang yang sedang menggoreng (seperti yang terdapat dalam gambar di bawah). 


ULASAN :
Pada hemat saya, setiap golongan masyarakat perlu peka dalam setiap istilah yang dipamerkan terutamanya di gerai-gerai yang menjual makanan atau di lain-lain tempat. Hal ini demikian kerana kesalahan yang dianggap remeh seperti itu akan mengundang kekeliruan terutamanya golongan pelajar yang sedang melalui proses pembelajaran. Jika hal seperti ini dibiarkan berlaku, maka rosaklah imej bahasa Melayu yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

*CERITA 13 : BAHASA KHIDMAT PESANAN RINGKAS (SMS)





Bahasa khidmat pesanan ringkas atau bahasa SMS sering kita dengar dan lihat digunakan oleh golongan remaja. Jika dilihat secara kasar, kebanyakan golongan yang menggunakan bahasa SMS ini adalah golongan muda. Adakalanya, seorang anak menghantar pesanan ringkas kepada ibu atau bapa yang sudah berumur dengan menggunakan bahasa singkatan yang sukar difahami oleh golongan ibu bapa (seperti di dalam gambar). Hal ini mengakibatkan maklumat yang disampaikan tidak jelas dan gagal diterima dengan baik. Walau bagaimanapun, bahasa SMS ini bukan sahaja dilihat tertera pada skrin telefon bimbit semata-mata, malah turut menular di laman sosial seperti 'Facebook', 'Twitter' dan ada juga ayat yang terkandung di dalam blog yang menggunakan bahasa ringkas. 

Berikut merupakan beberapa contoh penggunaan bahasa singkatan yang pernah saya temui :

EJAAN YANG BETUL
EJAAN DALAM KHIDMAT PESANAN RINGKAS
tidur
tittow
kenapa
napew
pun
pown
minta
mx
sekolah
ckolah





ULASAN :
Pada pendapat saya, bahasa khidmat pesanan ringkas yang digunakan semakin parah. Hal ini sekali gus menjejaskan mutu bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang wajar dihormati dan dipelihara. Seharusnya golongan remaja perlu peka akan situasi seperti ini supaya segala maklumat yang ingin disampaikan tepat dan dapat difahami. Jika diteliti keburukannya, bahasa seperti ini juga dikhuatiri mengundang pelbagai lagi kesan, ekoran daripada salah faham semasa menghantar khidmat pesanan ringkas.

*CERITA 12 : LELAKI ATAU PEREMPUAN?

Saya telah pergi ke kampus untuk ke Karnival Keusahawanan yang diadakan di kampus. Sedang leka membeli-belah, tiba-tiba saya terdengar perbualan dua orang sahabat namun kelihatan aneh sahaja gaya percakapan mereka. Saya pun menoleh dan terkejut melihat dua orang lelaki sedang berbual dan bergurau senda antara satu sama lain. Yang mengejutkan saya ialah bahasa dan isyarat badan dua orang lelaki ini sangat berbeza dengan lelaki biasa. Kebiasaannya, kaum lelaki pasti mengeluarkan suara yang garau dan kelihatan kasar. Namun, pada pandangan saya, dua orang lelaki ini mengeluarkan suara yang begitu lembut! Seperti gaya seorang perempuan. 
         Oleh yang demikian, saya telah melabel dua orang lelaki ini sebagai pondan. Pondan atau lebih dikenali sebagai mak nyah merupakan isilah yang sering digunakan untuk melabel golongan yang berjantina lelaki, tetapi watak, bahasa tubuh dan percakapan seperti perempuan. Adakalanya, golongan ini gemar menata rias wajah sehingga dilihat seperti 'nampak cantik' seperti golongan wanita. Kadangkala juga, saya pernah terdengar beberapa istilah atau perkataan yang sering digunakan oleh golongan ini seperti 'nyah', 'nok' dan 'mak'. Bahasa yang digunakan agak mengelirukan dan jika dibiarkan mungkin berlakunya penyakit bahasa dalam masyarakat.



ULASAN :
Saya merasakan golongan seperti ini seakan-akan hilang identiti diri yang sebenar. Mereka dilihat dalam konteks mengalami kecelaruan identiti diri. Kadangkala pada mulanya terdapat segelintir golongan lelaki yang tidak serius untuk berperwatakan lembut seperti perempuan, namun akhirnya golongan ini semakin parah apabila terus bercampur-gaul dengan golongan yang mempunyai identiti yang sama dengan mereka. Maka seharusnya golongan seperti ini perlu dibantu agar masyarakat di Malaysia terus hidup dalam aman dan makmur. 

Monday, 18 March 2013

*CERITA 11 : UCAPAN SALAM

Semalam, saya dan rakan telah pergi ke sebuah sekolah yang merupakan tempat saya menjalani latihan mengajar pada pertengahan tahun yang lalu. Hakikatnya, saya berasa bangga dan kagum apabila berada di sekolah tersebut kerana warga sekolah yang terdiri daripada kakitangan sekolah, guru-guru, malah tidak ketinggalan tukang kebun sering menunjukkan sikap peramah dan menyambut baik kedatangan saya pada waktu itu. Saya terus menuju ke pejabat untuk memaklumkan tujuan kedatangan saya. Dengan penuh rasa hormat saya terus memberi salam kepada seorang kerani di situ dan memberitahu tujuan kedatangan saya. Saya berasa sangat selesa dan debaran untuk hadir ke sekolah tersebut sekali lagi pada awalnya ternyata lenyap kerana layanan yang diberikan oleh kerani tersebut sangat mesra.
        Sepanjang berada di sekolah tersebut, perkara yang membuatkan saya rasa kagum ialah sikap para pelajarnya yang begitu menghormati guru-guru walhal dengan saya sendiri yang merupakan seorang bekas guru praktikum turut diucapkan salam. Ketika saya ingin menuju ke bilik guru, saya telah terserempak dengan beberapa orang pelajar dan serta-merta pelajar tersebut memberi salam lalu menegur saya. Mungkin kerana hubungan kami yang rapat dan mesra, pelajar tersebut tidak menggunakan bahasa formal ketika berbual dengan saya yang merupakan bekas guru yang mengajar mereka sepanjang menjalani latihan mengajar. Berikut antara perbualan saya dengan pelajar tersebut :

Pelajar : Assalamualaikum, cikgu! Dah lama tak jumpa. Cikgu sihat?
Saya    : Alhamdulillah..sihat. Awak apa khabar?
Pelajar : Saya sihat cikgu..Kami semua rindu sangat kat cikgu. Tak sangka pulak cikgu nak mai sini lagi..

ULASAN :
Saya merasakan bahawa sikap para pelajar seperti di atas perlu dijadikan contoh. Walaupun tidak menggunakan bahasa formal semasa sedang berbual dengan saya, namun, atas sikap hormatnya dan tutur katanya yang penuh sopan santun membuatkan saya rasa selesa bersama anak-anak murid.

             


         

Sunday, 17 March 2013

*CERITA 10 : ASTRO OH ASTRO!

Kawan-kawan sudah tahu bukan berkenaan dengan Astro? Saya yakin ramai antara kawan-kawan yang mempunyai Astro di rumah. Apa itu Astro? Astro merupakan perkhidmatan pertama yang terdapat di Malaysia yang membawakan keseronokan pawagam terus ke rumah. Hal ini bermaksud, para penggemar filem tidak perlu bersusah payah pergi ke pawagam semata-mata ingin menonton filem yang diingin. Namun, bagi saya astro ini hanyalah untuk hiburan semata-mata dan tidak rugi jika tidak memilikinya. Saya rasa bersyukur kerana ayah tidak terlalu mengikut rentak dan gaya jiran-jiran yang semakin ramai mempunyai 'piring besar' di atas bumbung rumah. 


     Bagi saya, pemasangan Astro di rumah bukan sahaja menelan belanja yang tinggi, malah turut menjejaskan tumpuan anak-anak terutamanya yang masih bersekolah. Hal ini demikian kerana, siaran yang terdapat dalam saluran Astro begitu padat dan adakalanya siaran tersebut sering diulang tayang hingga membuatkan anak-anak tidak berganjak dari skrin televisyen. Namun, bukan kisah kebaikan dan keburukan pemasangan Astro yang ingin saya paparkan. Namun, saya ingin berkongsi tentang segelintir pihak yang bertugas dalam mempromosikan pemasangan Astro yang sering berada di tempat awam, contohnya di pasar awam yang merupakan tumpuan para pengguna membeli barangan keperluan harian. Namun, adakalanya, bahasa yang digunakan kepada pengguna sangat tidak sesuai kerana terdapat segelintir pihak yang menggunakan bahasa yang memaksa pelanggan untuk melanggani Astro. Saya pernah terdengar perbualan pihak kakitangan Astro dengan pelanggan. Antaranya berbunyi :

Kakitangan Astro  : Bang! Pasang Astro, bang! Abang dah ada Astro ke kat rumah tu?
Pelanggan             : Takpe la dik. Siaran yang ada pun dah puas tengok dah.
Kakitangan Astro : Tak jemu ke bang tengok siaran sama je hari-hari? Bukan mahal pun bang..

          
ULASAN :

Pada hemat saya, pihak penjual atau pihak yang mempromosikan barangan jualan seperti ini tidak wajar berada di tempat-tempat awam yang sememangnya telah penuh sesak dengan orang ramai. Hal ini akan melambatkan kelancaran para pengguna untuk membeli-belah. Selain itu, pihak kakitangan Astro tersebut sepatutnya menggunakan bahasa yang lebih bersopan dengan pelanggan dan lebih bermanis mulut terutamanya apabila hendak mempromosikan barangan.


*CERITA 9 : PASAR AWAM


Pasar awam

Pasar awam sememangnya tempat para peniga berjual pelbagai barangan runcit serta barangan dapur. Seperti yang sering kita lihat, di pasar awam terdapat pelbagai lapisan kaum yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India. Walhal yang berniaga juga bukan hanya terdiri daripada satu kamum, malahan dari kaum Melayu hingga kaum India turut berlumba-lumba menjual barangan masing-masing. 
           Baru-baru ini, saya telah pergi ke sebuah pasar awam yang terletak berhampiran dengan rumah saya. Saya bercadang ingin membeli pelbagai jenis sayur dan keperluan harian yang lain. Saya sedar untuk membeli seekor ikan atau ayam, seseorang sering bertanyakan perihal harga sebelum membeli. Begitu juga dengan saya, terdapat ramai peniaga yang menjual pelbagai jenis ikan dan daging ayam. Hal ini memerlukan saya untuk pergi dari satu peniaga ke satu peniaga yang lain bagi bertanyakan perihal harga yang diletakkan. Saya dapati, terdapat peniaga cuba mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang tinggi kepada para pembeli. Selain itu, jika dilihat secara kasarnya, peniaga bukan Melayu sering meletakkan tanda harga yang tinggi bagi barangan keperluan mereka. Hal ini sering membuatkan para pembeli berasa tertipu. Kadangkala, berlaku juga pertikaman lidah semasa penawaran harga berlaku antara peniaga dan pembeli keran pihak pembeli tidak berpuas hati dengan harga yang ditetapkan. 

ULASAN :

Pada pendapat saya, para peniaga tidak wajar dengan sewenang-wenangnya meletakkan tanda harga dengan tidak mengikut perkembangan semasa. Hal ini bukan sahaja menyukarkan para pengguna malah turut menimbulkan kemarahan para pengguna yang sering membeli barangan keperluan harian seperti barangan runcit serta makanan. Oleh yang demikian, pihak yang berwajib perlu sentiasa memantau kegiatan para peniaga di pasar awam agar tidak meletakkan tanda harga dengan sesuka hati.

Friday, 15 March 2013

*CERITA 8 : PELAJAR DAN....ROKOK??

Cerita yang saya akan paparkan pada kali ini adalah berkaitan rokok. Seperti yang kita ketahui, rokok sememangnya membahayakan kesihatan yang bukan sahaja menjejaskan perokok, malah orang yang berada di sekeliling golongan yang merokok turut terpalit dengan kesan bahayanya. Namun, yang paling menyedihkan adalah golongan murid sekolah juga telah pandai berjinak-jinak dengan perbuatan yang membahayakan kesihatan itu.
          Situasi ini berlaku semasa saya dan seorang rakan singgah di kedai yang terletak di pekan. Sedang saya leka membeli barangan, saya ternampak beberapa orang murid yang masih berpakaian sekolah tanpa segan-silu menghisap rokok. Perbuatan mereka turut diperhatikan oleh para pemandu yang sedang memperlahankan kenderaan di kawasan tersebut. Murid-murid ini seperti tiada perasaan bersalah kerana menghisap rokok dengan keadaan yang masih berpakaian sekolah.

ULASAN:
Sebagai seorang mahasiswi, saya beranggapan murid-murid tidak tahu menjaga identiti diri kerana tanpa segan-silu dan rasa bersalah menghisap rokok di khalayak ramai dengan keadaan yang masih berpakaian sekolah. Walaupun waktu persekolahan telah tamat dan berada di luar kawasan sekolah, mereka sepatutnya menunjukkan imej yang baik ekoran masih berpakaian seragam sekolah dan bukannya dengan penuh rasa bangga menghisap rokok di tempat awam.

*CERITA 7 : PELAJAR PONTENG

Pada hari ini, saya dan seorang rakan telah bercadang untuk pergi ke sebuah bank bertujuan membuat kad bank. Saya dan rakan mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja dan melewati Pintu Selatan di kampus lalu menggunakan jejantas untuk sampai ke pekan. Saya dan rakan memang bercadang ingin pergi pada awal waktu untuk mendapatkan giliran yang terawal apabila sampai di bank.
       Ketika saya dan rakan sedang melewati sebuah jejantas untuk ke pekan, kami mendapati dua orang murid sekolah sedang melepak di atas jejantas tersebut. Kami cuba untuk menegur, namun belum sempat ditegur, murid tersebut terus berlari meninggalkan kami. Mungkin mereka terkejut akan kehadiran kami dan terus lari meninggalkan kami.

ULASAN :
Sebagai seorang murid yang masih bersekolah tidak sewajarnya murid tersebut ponteng sekolah. Hal ini bukan sahaja menyusahkan pihak guru, malah turut menyusahkan dan memalukan pihak ibu bapa. Selain itu, imej sekolah juga akan terjejas.

Wednesday, 13 March 2013

*CERITA 6 : MAJIKAN DAN PEKERJA

Membaca novel merupakan salah satu aktiviti yang saya gemar lakukan. Jika ada masa terluang, saya akan membaca sebuah novel yang jalan ceritanya tidak terlalu berat untuk difikirkan. Sepanjang pembacaan saya baru-baru ini, saya ada meminjam sebuah novel yang boleh dilabel sebagai novel berunsur percintaan yang saya anggap ianya santai dan tidak membebankan dengan jalan cerita yang pelbagai. Sebelum itu, ingin saya berkongsi sedikit tentang jalan ceritanya secara ringkas. Novel ini berkisar tentang percintaan antara majikan dengan pekerja bawahannya. Watak majikan ini saya dapat tafsirkan sebagai agak pelik kerana wataknya dinukilkan sebagai pemalu dan mempunyai gaya yang tersendiri untuk mengenal secara lebih dekat lagi dengan seorang pekerja wanita di syarikatnya.
          Oleh itu, situasi yang ingin saya ketengahkan merupakan seorang majikan yang sering mengherdik dan memaki hamun pekerja wanita di syarikatnya semata-mata ingin menarik perhatian pekerja wanita tersebut. Sikap majikan seperti itu akhirnya membuatkan pekerja wanita tersebut mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Tindakan pekerja wanita tersebut untuk berhenti kerja membuatkan majikannya tidak 'senang duduk' hingga majikan tersebut sering mengekori pekerja wanita tersebut.

Moral berdasarkan cerita :
Pada pendapat saya, seorang majikan tidak seharusnya memarahi pekerja bawahan terutamanya golongan wanita dengan cara yang kasar. Pihak majikan tersebut seharusnya berdiplomasi dengan pekerja-pekerja bahawan dan menjaga maruah para pekerja.

Sunday, 10 March 2013

*CERITA 5: JIRAN DI BELAKANG RUMAH

Setelah genap empat bulan bercuti selepas tamat menjalani latihan mengajar, saya dan rakan melangkah kembali ke alam mahasiswa. Kami bersetuju untuk tinggal semula di kawasan perumahan yang telah kami diami pada sepanjang semester satu hingga enam yang terletak tidak jauh dari kampus. Rumah yang kami diami itu merupakan sebuah rumah kedai. Saya dan rakan amat berpuas hati dengan rumah sewa yang kami diami. Namun, setelah beberapa minggu menjadi seorang penyewa di rumah tersebut, saya dan rakan terutamanya yang tinggal di bilik bernombor satu sering diganggu oleh suara-suara yang kami sangkakan para pekerja yang bekerja di kedai makan yang terletak berhampiran dengan rumah kami. 
         Namun sangkaan saya dan rakan meleset apabila suara bising yang sering kedengaran itu bukan sahaja datangnya dari arah kedai makan yang terletak di bawah rumah kami, tetapi setelah diperiksa, rupa-rupanya suara tersebut datangnya dari arah belakang rumah kami yang turut didiami oleh mahasiswa yang mungkin seusia dengan kami. Saya memerhatikan gelagat jiran tersebut yang boleh dianggap sebagai kurang sopan apabila bercakap dengan suara yang riuh-rendah dengan pekerja-pekerja di kedai makan tersebut. Hal ini tidak seharusnya berlaku kerana mereka merupakan mahasiswi yang sepatutnya menjaga adab dan sopan terutamanya dalam hidup berjiran. Gelagat mereka ini dilihat sangat mengganggu jiran-jiran yang lain yang mungkin ada yang sedang menyiapkan tugasan mahupun yang sedang berehat.

Moral berdasarkan cerita:
Dalam hidup berjiran kita seharusnya menjaga adab sopan dan menghormati jiran tetangga yang lain. Selain itu, seorang wanita atau perempuan sangat tidak sesuai melontarkan suara dengan kuat (seperti terjerit-jerit) semata-mata hendak berbual dengan pekerja-pekerja yang majoritinya lelaki di kedai makan tersebut. Perkara seperti ini saya anggap amat memalukan kaum wanita.

*CERITA 4: MEMOTONG BARISAN

Semalam, saya dan rakan singgah sebentar di restoran makanan segera (KFC) untuk mengisi perut yang sedang kelaparan. Seperti biasa, restoran tersebut tidak pernah sunyi dari disinggah oleh para pengunjung masa kini yang lebih gemar memakan makanan segera termasuklah saya dan rakan. Hal ini mungkin disebabkan rasa makanannya yang tidak pernah berubah sejak restoran tersebut ditubuhkan serta mudah dan cepat untuk disediakan membuatkan restoran makanan segera tersebut tidak pernah lekang dengan pengunjung yang datang. 
       Oleh sebab khuatir tidak mendapat meja makan, saya segera mencari-cari tempat yang kosong sementara rakan pergi memesan makanan. Sementara menunggu ketibaan rakan, saya sempat memerhatikan pelbagai gelagat dan ragam pengunjung. Ada yang sedang melayan karenah anak-anak kecil, ada yang sedang bersenda gurau bersama rakan-rakan dan bermacam-macam lagi. Sedang saya asyik memerhatikan gelagat para pengunjung, tiba-tiba mata saya beralih pada gelagat pengunjung yang sedang beratur menunggu giliran untuk memesan makanan. Saya berasa terkejut apabila salah seorang pengunjung yang sedang beratur untuk memesan makanan secara tiba-tiba memotong barisan. Saya melihat pengunjung ini cuba mengambil kesempatan kerana memang ramai pengunjung yang datang untuk makan di restoran tersebut. Mungkin pengunjung yang cuba memotong barisan ini berfikir bahawa perbuatannya tidak akan terlihat oleh sesiapa memandangkan ruang yang sesak dengan para pengunjung.

Moral berdasarkan cerita:
Sebagai pengunjung yang sering ke restoran tersebut, saya berpendapat, pengunjung tersebut tidak seharusnya memotong barisan ketika hendak membeli makanan. Selain itu, sebagai rakyat Malaysia juga kita inginkan hidup yang aman damai. Oleh itu, sikap bertolak-ansur dan hormat-menghormati terhadap orang lain sangat perlu ditekankan dalam diri.

Saturday, 9 March 2013

*CERITA 3: SUARA SIAPA PALING KUAT?

Pada hari ini, saya telah pergi ke salah sebuah pusat beli-belah yang sememangnya menjadi tumpuan penduduk kota di Kuala Lumpur. Saya pergi dengan menaiki komuter. Pada hakikatnya, saya tidak gemar menaiki alat pengangkutan tersebut kerana alat pengangkutan tersebut mengambil masa yang lama untuk tiba ke destinasi. Sepanjang berada di dalam komuter tersebut, pelbagai situasi dan gelagat yang dapat saya lihat. Seperti biasa, alat pengangkutan tersebut dipenuhi dengan bermacam-macam orang yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya. 
            Saya melihat terdapat perbezaan dari aspek percakapan antara masyarakat Melayu, Cina dan India. Jika diperhatikan kebanyakan masyarakat Cina sering menggunakan suara yang kuat seperti orang sedang bergaduh dalam perbualan seharian. Walaupun dialog sebenar tidak menampakkan masyarakat Cina ini ingin memulakan pergaduhan (jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu), namun, melalui cara dan gaya pertuturan mereka akan membuatkan masyarakat lain memandang negatif. Hal ini mungkin disebabkan masyarakat mereka menganggap pertuturan seperti itu merupakan cara mereka bergurau senda dan bertujuan menyampaikan sesuatu itu dengan lebih jelas. Namun, apabila situasi ini berlaku di dalam pengangkutan awam, mungkin akan mengganggu penumpang lain sama ada ibu yang membawa anak kecil yang sedang tidur atau mengganggu penumpang lain yang sedang berbual.

Ulasan :
Pada pendapat saya, setiap orang haruslah menghormati antara satu sama lain, baik dari segi perbuatan mahupun percakapan. Sememangnya setiap kaum mempunyai cara hidup dan budaya yang berbeza, namun, melalui situasi tersebutlah sesuatu kaum itu perlu menekankan aspek hormat-menghormati agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Tuesday, 5 March 2013

*CERITA 2: AYAH DAN ANAK

Assalamualaikum kawan-kawan..Kali ini saya ingin memaparkan tentang kisah sikap seorang anak dengan ayahnya. Pasti kawan-kawan tertanya-tanya bukan? Adakah kisah anak yang menolong ayahnya, atau mungkin anak itu bersikap kurang sopan terhadap ayahnya? Mungkin kisah seperti ini biasa didengar atau ditonton, namun atas dasar perikemanusiaan ingin sekali saya berkongsi tentang perasaan saya apabila situasi tersebut berlaku di depan mata saya sendiri. 
       Peristiwa ini telah berlaku ketika saya dan seorang rakan singgah di salah sebuah gerai yang berhampiran dengan kediaman saya untuk membeli makanan. Ketika itu hujan turun renyai-renyai. Ketika saya dan rakan sedang asyik menunggu giliran untuk memesan makanan, tiba-tiba kedengaran suara nyaring seorang anak bercakap dengan ayahnya. Suara tersebut kedengaran begitu lantang seperti seorang anak sedang memarahi ayahnya. Saya dan rakan agak terkejut melihat perlakuan anaknya yang bercakap begitu kasar dengan ayahnya. Walaupun ayahnya kelihatan bersahaja, namun pada mata kami perkara tersebut juga boleh memalukan si ibu yang dilihat sibuk menggoreng keropok pada ketika itu. Yang jelas, saya melihat riak wajah si ibu yang tiba-tiba berubah ekoran sikap anak yang tidak sopan ketika bercakap dengan ayahnya. Antara dialog yang masih saya ingat:

Anak: Eee...cepatlah ayah! Tolong la sikit tengah hujan-hujan macam ni! Sudah la ramai orang!
Ayah: Ya..sabarlah! Tengok, ada kerusi ni pun tak dialihkan.Macam mana tak basah ni!
Anak: Manalah orang tau!

Moral berdasarkan cerita:
Sebagai seorang anak, kita seharusnya tidak patut meninggikan suara lebih-lebih lagi terhadap orang yang lebih tua. Sedangkan mengeluarkan perkataan 'ahh' sahaja seorang anak itu dianggap berdosa. Walau bagaimana rupa dan sikap ibu bapa kita, mereka tetap orang penting yang melahirkan dan membesarkan kita. Oleh itu, sikap seperti ini tidak wajar dicontohi. Walaupun adakalanya sikap anak yang panas baran itu diwarisi daripada ayah atau ibu, ibarat peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya, namun sebagai anak tidaklah wajar meninggikan suara di hadapan kedua-dua ibu bapa.

Monday, 4 March 2013

*CERITA 1: MENIRU DALAM PEPERIKSAAN


Ketika duduk bersantai sambil menghirup air Milo kegemaran, teringat aku akan peristiwa semasa berada di alam persekolahan. Peristiwa ini mula berlaku ketika aku berada di sebuah sekolah menengah yang aku anggap banyak menyimpan memori suka, duka, tangis dan tawa antara aku dan rakan-rakan. Aku bukanlah tipikal gadis yang suka memberontak di usia remaja, aku juga boleh dianggap seperti gadis pemalu, namun di dalam hatinya menyimpan pelbagai rasa. Namun, ketika rakan-rakan seusiaku yang lain sibuk memikirkan perihal teman lelaki yang berperangai begitu, berperangai begini, aku sedikit pun tidak mengendahkan hal-hal yang begitu kerana aku berfikiran usiaku masih muda, mengapa perlu memikirkan tentang orang lain yang tidak penting? Ketika ini aku hanya memikirkan tentang persahabatan. Oleh sebab itulah, ada rakan-rakan lelaki yang melabel aku sebagai perempuan yang sombong. Mungkin dengan adanya seorang ibu yang kuanggap garang, seorang ayah yang tegas tidak memungkinkan aku untuk bermain dengan cinta di awal usia remajaku. Oh! sebenarnya bukan tentang cinta yang ingin aku kongsikan di sini.
     
        Seperti biasa seseorang yang bergelar pelajar sememangnya tidak akan terlepas dari menduduki pelbagai jenis ujian dan peperiksaan. Walhal sebagai manusia pun kita sering diberi ujian oleh Allah S.W.T bagi menguji tahap keimanan hamba-hambaNya. Di sini aku ingin berkongsi pengalamanku ketika menduduki peperiksaan (bukan peperiksaan awam). Aku hairan melihat rakan-rakanku ada yang menulis nota ringkas dan padat, tetapi tulisannya kelihatan terlalu kecil. Aku fikirkan dengan adanya nota sebegitu mudahlah untuk dibawa ke mana-mana. Rupa-rupanya tekaan silap apabila ada beberapa orang rakan sekelasku membawa nota tersebut bersama-sama ketika peperiksaan dijalankan.



Tiba-tiba sedang asyik seorang daripada rakan sekelasku mengintai-intai nota yang diselitkan di belakang kertas soalan, seorang guru datang menghampiri lalu memarahinya. Antara dialog yang kuingat hingga kini ialah :

Cikgu Siva : Kenapa awak meniru?!
Zulkifli       : Err..saya..saya..
Cikgu Siva : Oleh sebab ini kali pertama saya nampak awak meniru semasa peperiksaan, saya maafkan. Selepas ini kalau saya jumpa lagi awak meniru, saya tidak teragak-agak untuk menghalau awak dari kelas saya. Awak kena sedar, awak berada di kelas yang pertama dan tidak sepatutnya awak bersikap seperti ini.

Moral daripada cerita :
Sebagai seorang pelajar, kita seharusnya belajar bersungguh-sungguh dan yakin dengan kemampuan diri sendiri. Tiada gunanya jika kita dilabel sebagai orang yang pandai dan terpelajar, tetapi meniru dalam peperiksaan dan tidak yakin akan kemampuan diri. Selain itu, sebagai orang yang beragama Islam, kita seharusnya berserah pada Allah S.W.T setelah pelbagai usaha dilakukan.

Saturday, 2 March 2013

PENGENALAN

Assalamualaikum.Salam perkenalan dari saya, tuan punya blog yang diberi nama Nurzihan binti Taib. Blog ini merupakan blog yang pertama bagi saya sekali gus memberikan saya pengalaman pertama berjinak-jinak dalam penghasilan blog. Blog ini dihasilkan bertujuan berkongsi pelbagai kisah dan cerita yang sarat dengan pengajaran sekali gus sebagai memenuhi tugasan ilmiah bagi subjek major saya iaitu Sosiolinguistik. Ini sahaja yang ingin saya sampaikan, dan nantikan entri yang seterusnya. Sekian.